Tuesday, November 10, 2009
JANGAN BERPERANGAI MACAM BERUK
Mengapa jurukamera yang bertugas untuk menyiarkan siaran langsung bolasepak 'dilastik'? Apakah dosa mereka? Oleh itu, saya tidak terkilan dengan kekalahan Kelantan. Mungkin tuhan sudah bosan dengan perangai penyokong Kelantan 'melastik' orang tidak berdosa yang menyebabkan pasukan itu kalah.
KUALA LUMPUR 9 Nov. - Polis akan memburu penyokong-penyokong bola sepak Kelantan yang dipercayai bertindak agresif serta menjadi dalang menimbulkan huru-hara ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Mereka yang terlibat dalam insiden memalukan itu sedang dikenal pasti melalui rakaman video dan gambar yang diambil sepanjang perlawanan tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman menegaskan, mereka yang dikesan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan Polis Kontinjen Kelantan bagi mengesan serta mengecam mereka yang terlibat.
''Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam hal ini. Kita tegas dalam mengambil tindakan ke atas mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain membaling mercun dan botol, perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-83 itu turut dicemari dengan insiden membakar tempat duduk stadium dan kain rentang. Malah, seorang krew kamera RTM turut cedera terkena batu yang dibaling oleh penyokong.
Muhammad Sabtu berkata, polis juga akan mengadakan perjumpaan dengan pihak stadium dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat ini.
Ia bertujuan membincangkan kelemahan serta 'kebocoran' yang wujud di bangunan stadium pada malam itu sehingga ada antara penonton menyeludup masuk mercun serta botol air melalui pagar di sekeliling stadium, katanya.
Orang nombor satu kontinjen Kuala Lumpur itu menyifatkan tindakan melampau penyokong Kelantan yang 'beraksi' di luar kawalan seolah-olah mencabar polis.
''Sebelum ini pun, kita telah mengeluarkan arahan supaya penyokong tidak bertindak di luar kawalan, tapi mereka degil. Jadi, kita terpaksa bertindak,'' tegasnya.
Monday, November 9, 2009
YANG LAMA JANGAN DITINGGALKAN
Pertandingan seumpama ini bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang penciptaan lagu asli. Ia secara langsung menambah koleksi lagu-lagu asli negara agar ia tidak hilang ditelan zaman. Yang menarik orang muda memenangi pertandingan ini.
Sebagai wartawan, peristiwa yang perlu diketahui ramai ialah salah seorang pencipta lagu itu adalah dari Sarawak yang meninggal dunia dalam kemalangan dua hari sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. Lagu yang dicipta ialah mengenai kematian.
Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang-orang soleh. Al-fatihah.
Sunday, November 8, 2009
JANGAN BIARKAN TUHAN BOSAN
Jangan terus menerus bergaduh sehingga menjejaskan nama baik BN dan seterusnya rakyat akan meluat.
Apabila mereka meluat sudah tentu mereka mencari parti alternatif. Ketika itu menangis airmata darah pun tak berguna. Burung terlepas tangan bau tahi. Kerajaan terlepas dan nasib rakyat, terutama orang Melayu dipinggirkan dan dikesampingkan. Itukah yang orang Malaysia mahu?
Janganlah bergaduh kerana hal-hal peribadi. Jangan bertelegah kerana isu remeh-temeh yang boleh diselesaikan ketika duduk bersembang 'pekena' teh tarik. Fikirkan mengenai negara dan rakyat. Tamatkan sengketa dan fikirlah yang lebih besar.
Insaflah dan jangan biar tuhan bosan dengan perangai kita.
(Tahniah kepada Pasukan NS kerana menjadi juara malam tadi).
Friday, November 6, 2009
ORANG BAGUS ADA DI MANA-MANA
Kami beruntung kerana sikap seorang duta yang amat prihatin dengan sikap anak negaranya. Syabas kepada anak buah Datuk Aniffah Aman ini.
Jika sebelum ini, kami makan di sebuah hotel dimiliki oleh rakyat Malaysia iaitu Don Chan Palace, Laos tetapi malam tadi kami diraikan di sebuah hotel berlainan Lao Hotel.
Di Hotel Don Chan, isu makanan halal tidak timbul kerana keprihatinan pemilik dari Seremban ini yang menyediakan makanan halal. Tetapi di Lao Hotel, kami amat berhati-hati manalah tahu mereka tidak memahami perkara itu. Memang betul pun.
Mujurlah duta Malaysia di sini yang amat prihatin yang bukan saja mengingatkan apa yang halal dan sebaliknya tetapi berusaha untuk mendapatkan makanan halal sebagai penggantinya.
Oleh itu, dapatlah kami menikmati ikan sedangkan perwakilan Islam lain hanya melihat saja makanan yang berada di atas meja kerana 'tidak halal'.
Kesimpulannya, dengan sikap ambil berat iaitu mengambil tahu mengenai makanan, duta itu bukan saja 'menyelamatkan' rakyat senegaranya daripada makan yang tidak halal tetapi juga mendapatkan 'makanan gantian' untuk mereka.
Oleh itu, saya amat bersetuju dengan kenyataan PM baru-baru ini bahawa ramai petugas kerajaan yang bagus dan cemerlang. Mereka ada di pelbagai tempat termasuk di rantau orang.
Syabas tuan duta. Orangnya juga peramah dan suka tersenyum. Orang bagus inilah perlu diketengahkan. Semoga maju jaya dalam kerjaya tuan.
Saturday, October 31, 2009
KEKASIH AWAL DAN AKHIR DI RTM
Oleh Norliza Mohamad Zakaria
Buat pertama kalinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal membawakan program yang menekankan aspek pencegahan tingkahlaku, penyelewengan serta penyalahgunaan dalam Kekasih Awal..Akhir, Kenali Anak kita.
Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali akan merasmikan program yang diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur malam esok. Serentak itu, RTM akan berlintas langsung dari Padang Semarak, Kuala Lumpur bagi membolehkan penonton RTM melihat konsert untuk generasi muda, Gegar Generasiku.
KAAKAK adalah program kerjasama RTM denganPersatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), itu turut disiarkan secara langsung di TV2 pada pukul 8.30 malam.
Presiden Pengasih, Mohd. Yunus Pathi pada sesi temu bual yang diadakan di Wisma TV, Angkasapuri baru-baru ini berkata, program itu adalah antara 20 siri penganjuran yang dilakukan selama dua tahun bermula Mei lalu.
"Setakat ini kita baru jalankan sebanyak lima siri di sekitar ibu kota yang merangkumi forum dan bual bicara. Ternyata apabila didedahkan kepada umum, maklum balas yang diterima daripada golongan ibu bapa begitu memberangsangkan.
"Selain Wilayah Persekutuan, kita juga bakal ke Perak, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan sebagainya untuk menjalankan program ini sepanjang dua tahun.
"Apa yang kita lihat, isu dadah ini telah diperkatakan sejak berdekad lamanya. Dan apa yang membimbangkan kebanyakannya melibatkan anak-anak dan generasi muda.
"Lebih malang lagi, kebanyakan ibu bapa tidak perasan yang anak mereka terpengaruh dengan najis dadah sehinggalah keadaan menjadi bertambah teruk.
"Jadi program sebegini membantu memberi kesedaran kepada ibu bapa khususnya menilai serta membuat andaian setiap gerak geri anak-anak mereka yang dilihat berpotensi terjerumus kearah itu," katanya.
Selain bual bicara, antara pengisian yang bakal melatari program itu pada malam tersebut di Auditorium Perdana ialah, sketsa berkaitan isu penyalahgunaan dadah dari para pelajar Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara), serta persembahan barisan artis terkenal seperti Jamal Abdillah, Misha Omar, Mila, Bob dan Ernie.
Di Padang Semarak pula, penonton bakal dihiburkan oleh Aizat dan Estranged secara terbuka.
Sementara itu, Pengarah Penerbitan TV, Rokiah Norma Ramli pada sesi temu bual yang sama memberitahu, penyelitan sketsa dan hiburan seperti nyanyian secara kreatif dari segi penerbitan mampu menarik minat penonton untuk mendengar dan menonton program tersebut.
"Untuk sketsa pula, kita akan paparkan kisah kehidupan beberapa remaja yang menceritakan tentang masalah mereka sehingga terjerumus dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah," katanya.
Kata Rokiah, konsert yang bakal dipaparkan menerusi lintas langsung dari Padang Semarak adalah bertujuan memberi peluang kepada generasi muda khususnya golongan remaja untuk berhibur dalam keadaan terkawal sambil menyokong memerangi dadah. - UTUSAN.
(Renungan Rimau : Inilah usaha RTM untuk mendekati generasi muda agar mereka membabitkan diri dalam kegiatan lebih berfaedah seperti permainan futsal, mengikuti pameran motokar dan motosikal berkuasa tinggi. Mereka boleh beriadah dan berhibur daripada menghabiskan masa merempit di jalan raya. Selamat menonton dan berhibur).
Wednesday, October 28, 2009
KONSERT BAND INDIE RTM AHAD INI
Program Gegar Generasiku yang bermula jam 9 pagi akan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk tarian shuffle, pertunjukan membabitkan motosikal dan kereta, pertandingan tarik tali serta futsal antara kumpulan.
Bagi mereka yang ingin menyertai pertandingan yang diadakan boleh mendaftar segera di kaunter pendaftaran bersebelahan surau lama bagi membolehkan mereka menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah menarik.
Apa yang menarik mereka juga boleh menggunakan kemudahan untuk bersolat kerana Masjid Angkasapuri yang berdekatan membolehkan mereka menunaikan ibadat sambil berekreasi.
Mereka juga boleh berhibur selepas waktu Isyak di Konsert Band Indie yang diadakan di pentas yang dibina di Padang Semarak.
Selamat berekreasi.
PEMBANGKANG BUAT AKSI SARKAS

Sorong peralatan dan perkakas
Bawa bersama pergi ke Pekan
Tolong berhentikan aksi sarkas
Wahai wakil pembangkang sekelian
Pergi ke Pekan temui pendeta
Dapatkan restu dan rahmat
Lupakan beda dan sengketa
Bekerjalah untuk sekelian rakyat.
Monday, October 26, 2009
TERBELAH DUA......AMACAM?
HUA HIN, Thailand 25 Okt. - Percanggahan di kalangan barisan kepimpinan Pas sampai ke kemuncaknya apabila Mursyidul Am parti itu mengeluarkan kenyataan supaya diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi membersihkan pemimpinnya daripada golongan prokerajaan perpaduan.
Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, perkembangan terbaru itu juga membuktikan wujud perpecahan serius di dalam Pas sehingga kemuncaknya mendorong Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu EGM diadakan, biar pun akan menyebabkan parti berusia 58 tahun itu berpecah.
Perdana Menteri berkata, pemimpin-pemimpin Pas kini 'terbelah' - satu kumpulan mahu mencari pendekatan yang boleh membawa kepada perpaduan ummah, manakala sekelompok lagi tidak mahu perubahan dan jauh sekali ingin menuju penyatuan ummah.
''Ada pihak yang lebih mementingkan politik daripada ummah. Kita hargai pihak yang melihat UMNO sebagai mewakili orang Melayu, berjasa dalam perjuangan ummah dan menjaga kepentingan kaum-kaum lain.
''Secara prinsipnya satu kumpulan mahu bergerak atas konsep perpaduan ummah. Apa bentuknya belum diketahui lagi, mereka ini tidak mahu perpecahan," katanya kepada pemberita pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kemelut dalam Pas yang membawa kepada cadangan diadakan EGM yang kemudian ditukar nama kepada mesyuarat khas bagi 'membersihkan' barisan pemimpin parti itu daripada gerakan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.
Perdana Menteri juga melihat ada kelompok di dalam parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu lebih mengutamakan kepentingan politik sehingga sanggup menolak agenda perpaduan ummah.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) menghargai pandangan kumpulan yang ikhlas demi perpaduan terhadap UMNO sebagai parti yang banyak berjasa menegakkan Islam di Malaysia.
Ditanya sama ada perpecahan di kalangan pemimpin Pas itu membuka ruang perbincangan dengan UMNO, Perdana Menteri berkata, selagi tiada kata sepakat di kalangan mereka, adalah sukar untuk dilangsungkan perbincangan secara formal.
''Jadi kita kita tunggu dan lihat perkembangan dalam Pas. Selagi Pas tidak dapat selesaikan masalah tersebut atas prinsip, kita tidak boleh buat apa-apa," katanya.
Perbincangan secara tidak formal, menurut Najib, tidak akan membuahkan hasil melainkan pemimpin Pas secara keseluruhannya bersetuju untuk berbincang dengan UMNO ke arah kerajaan perpaduan.
Sementara itu, ditanya mengenai kemelut dalaman MCA yang masih belum selesai, Perdana Menteri berkata, beliau telah cuba menasihatkan pemimpin utama dan naib presiden parti komponen BN itu supaya disegerakan jalan penyelesaian.
Katanya, masalah tersebut terpaksa diselesaikan berasaskan kepada pemuafakatan dua kumpulan kerana tidak ada satu kumpulan mendapat majoriti semasa EGM dilangsungkan baru-baru ini.
''Mereka terpaksa akur dan terima hakikat kalau bercantum barulah boleh mewakili keseluruhan MCA," katanya. - UTUSAN
(Renungan Rimau : Sebagai umat Islam kita perlu menyokong pihak yang menganjurkan usaha merapatkan barisan Melayu dan Islam. Bukan ada sesetengah pemimpin PAS yang mahu melihat Melayu dan Islam berpecah. Mahu melihat Melayu dan Islam lemah dan boleh dipijak orang. Politik, politik juga tetapi jika Melayu dan Islam tidak dihormati lagi, apalah gunanya. Apa punya pemimpin yang mengaku ulama tetapi tidak mahu bersatu dan mengeluarkan pelbagai fatwa. Halo...jangan mengelirukan minda oranglah. Apalah kau labu...)
DAULAT TUANKU DAULAT TUANKU
(DYMM Sultan Pahang bersama Sultanah Hajjah Kalsom memotong kek Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Konsert Diraja malam tadi. Gambar Utusan.)Bagi pihak RTM, patik merafak sembah menjunjung kasih kepada ke bawah Dulia Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom berangkat Bercemar Duli bagi menyaksikan persembahan Konsert Diraja Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Persembahan Konsert DiRaja di Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang Darul Makmur malam tadi adalah manifestasi kegembiraan rakyat sempena Sambutan Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Tuanku.
Okestra RTM di bawah pimpinan Dato' Mokhzani telah mempamerkan persembahan yang menarik mengiringi penyanyi berbakat dan tersohor tempatan seperti Dato' Yusni Hamid, R Ismail, Nurfaizah, Farawahida, Azharina Azhar, Aizat, Anis Salwa dan Musly Ramlee.
Turut serta dalam Konsert DiRaja itu ialah Razak Rahman, Lim (pipa), Lim Soo Lay (Er Hu) dan Keiko Nakagawa.
Pengacara Konsert DiRaja ialah Fathil Hidayat Ghazali (penyampai dan wartawan RTM) dan Hazleen Abdul Aziz (pengacara Bisnes Malaysia RTM).
Keindahan matahari terbit di Sungai Mekong, Laos. Sungguh indah. Mengingatkan saya ketika berada di Lake District, UK. Jika kita lihat pemandangan di Lake District, seperti memasuki Muzium Dunia yang memaparkan keindahan 'lukisan ajaib dunia'.

